TAIB MEMBELI-BELAH BERSAMA ANAK-ANAK YATIM

28 APRIL 2021, GADONG – Dalam menyambut bulan suci Ramadhan ini, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya Insurans Islam Holdings Sendirian Berhad (IITH) dan Darussalam Holdings Sendirian Berhad (DHSB), telah menganjurkan acara membeli-belah bersama 50 orang anak-anak yatim yang kebanyakkan berusia 6-16 tahun di The Mall, Gadong.

Anak-anak yatim berkenaan adalah yang telah didaftarkan di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Setiap kanak-kanak diberi sumbangan wang tunai untuk membeli barangan keperluan untuk Hari Raya Aidilfitri dan mereka jua diberikan saguhati berupa biskut hari raya.


Rombongan sukarelawan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan TAIB, IITH, DSHB dan ahli jawatankuasa dari JAPEM terlibat untuk membantu anak-anak berkenanan semasa membeli-belah. Dengan bantuan sukarelawan, TAIB berharap dapat menanamkan nilai perancangan kewangan semasa aktiviti membeli-belah dengan membimbing mereka dalam membuat keputusan pembelian antara keperluan dan kemahuan.


Acara tersebut dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Urusan TAIB, Yang Mulia Haji Osman bin Haji Jair. Dia menekankan bahawa sudah menjadi amalan syarikat untuk memberi kembali kepada masyarakat semasa perayaan.


“TAIB dan anak-anak syarikatnya berusaha menganjurkan acara membeli-belah bagi mengongsikan suasana kegembiraan bersama anak-anak yatim dalam Bulan Suci ini. Inisiatif ini adalah inspirasi bagi menyuntik semangat di bulan Ramadhan untuk memberi dan berkongsi kemeriahan dengan mereka. Kami berharap bahawa sikap muhibah ini dapat membawa senyuman serta kegembiraan kepada anak-anak yatim”.


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa dari JAPEM dan juga sukarelawan TAIB, IITH dan DSHB atas sokongan mereka untuk menjayakan acara ini serta mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Rizqun International Hotel kerana menyediakan kawasan untuk anak-anak yatim berkenan dan memberikan layanan yang baik.