Perancangan Kewangan Asas

Lebih 10 peserta telah menyertai bengkel “Perancangan Kewangan Asas” anjuran Insurans Islam TAIB Family Takaful Sendirian Berhad (IITFT) yang berlangsung di SEAMEO VOCTECH, Gadong hari ini.
Bengkel tersebut memberikan penekanan kepada persediaan kewangan bagi jangka pendek dan jangka panjang yang lebih teratur. Ianya adalah inisiatif IITFT untuk berkongsi pengetahuan perancangan kewangan dengan individu-individu yang ingin memahami kaedah asas perancangan kewangan peribadi. Disamping itu, bengkel ini juga mengongsikan cara mudah untuk memulakan dan memperbaiki perancangan kewangan serta mencapai misi kewangan yang dihasratkan.
Pakar-pakar kewangan daripada IITFT juga memberikan khidmat nasihat dan pendapat kedua dari segi kedudukan kewangan peserta dengan membukakan meja pertanyaan bagi nasihat kewangan peribadi. Peserta-peserta juga berkesempatan untuk mendapatkan khidmat pengiraan berkaitan perancangan kewangan masing-masing.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengurus Am Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Yang Mulia Awang Haji Shamsul bin Haji Muhammad. Beliau merupakan Perancang Kewangan Bertauliah dengan kelulusan profesional Chartered Financial Consultant (ChFC) dari Singapore College of Insurance (SCI) 2009. Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perbankan Islam semasa berkhidmat di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan lebih 5 tahun di dalam industri Takaful di Insurans Islam TAIB Family Takaful Sendirian Berhad (IITFT), beliau merupakan ahli Persatuan Perancangan Kewangan Brunei Darussalam “Financial Planning Association of Brunei” (FPAB). Dengan pengalaman berkenaan beliau mahir dalam membantu individu mengurus dan memperbaiki kedudukan kewangan peribadi melalui khidmat nasihat yang bersistematik dan teratur.